Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Britain semalam menangkap seorang remaja berusia 18 tahun di Dover, selatan negara itu, dianggap perkembangan penting dalam usaha memburu dalang di sebalik letupan bom di dalam kereta api di sini, kelmarin yang mencederakan 30 orang.
Remaja terbabit ditahan di Dover, tempat feri berlepas ke Perancis.
Perdana Menteri Theresa May mengumumkan tahap keselamatan tertinggi - ‘kritikal’ - lewat Jumaat bererti serangan dijangka sedang dirancang di negara itu, manakala polis bersenjata serta tentera dikerah mengawal lokasi strategik dan memburu suspek.
Bom buatan sendiri itu melepaskan bebola api di dalam gerabak kereta api dipenuhi penumpang pada waktu sibuk Jumaat lalu, tetapi dipercayai gagal meletup sepenuhnya.
Sementara itu, laporan media memetik sumber siasatan mendakwa serangan itu sengaja menyasarkan kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah.
Menurut sumber itu, laluan berkenaan antara yang paling sibuk dan ramai bernasib baik bom berkenaan gagal meletup sepenuhnya.
Letupan di stesen kereta api bawah tanah Parsons Green di London itu serangan pengganas besar kelima di Britain tahun ini dan diakui dilaksanakan Daish.
Beberapa penumpang melecur namun ramai cedera akibat rempuhan orang ramai yang panik meninggalkan lokasi itu.
Penyelaras Kebangsaan Kanan Polis Antikeganasan, Neil Basu berkata: “Kami berjaya membuat penangkapan penting dalam siasatan kami pagi ini (semalam).
“Siasatan diteruskan dan tahap ancaman masih dikelaskan kritikal.”
Semalam, Britain mengerahkan ratusan askar di tempat strategik seperti loji nuklear dan lokasi pertahanan lain untuk membolehkan polis bersenjata menumpukan sepenuhnya usaha memburu suspek kejadian berkenaan.
Kali terakhir Britain diletakkan dalam keadaan amaran kritikal susulan kematian 22 orang di konsert penyanyi pop Ariana Grande di Manchester pada Mei lalu.
Sebelum itu, ia diisytiharkan selepas serangan di London pada 2007.
17 September 2017 - 14:34
News ID: 854754
Polis Britain semalam menangkap seorang remaja berusia 18 tahun di Dover, selatan negara itu, dianggap perkembangan penting dalam usaha memburu dalang di sebalik letupan bom di dalam kereta api di sini, kelmarin yang mencederakan 30 orang.